Sekadar selingan...

Sekadar selingan...

Saturday, December 15, 2007

Benarkah Bible Asal Masih Wujud?

Bab-bab atau surah-surah yang terkandung di dalam Bible disebut dalam bahasa Inggeris sebagai book atau ‘buku’. Bible adalah sebuah kitab yang menghimpunkan sebanyak 66 buah bab, 39 daripadanya terkandung di dalam bahagian Old Testament atau Perjanjian Lama manakala 27 lagi terkandung di dalam bahagian New Testament atau Perjanjian Baru. Kitab Perjanjian Lama dikaitkan dengan orang Yahudi kerana ia mengandungi undang-undang Nabi Musa (Taurat), kisah-kisah sejarah berhubung bangsa Yahudi, kitab Zabur yang mengandungi doa-doa dan puisi serta bab kebijaksanaan di samping beberapa bab yang dipenuhi dengan ramalan-ramalan mengenai perkara akan datang.

Perjanjian Baru pula merujuk kepada kitab suci orang Kristian. Ia mengandungi empat Gospel (Injil) yang ditulis oleh Matius, Markus, Lukas dan Yohanes. Di samping itu, bahagian ini mengandungi satu bab yang bertajuk The Acts atau “Kisah Para Rasul” yang menceritakan tentang keadaan agama Kristian pada peringkat awal kemunculannya. Surat-surat yang ditulis oleh St. Paul dan beberapa orang tokoh-tokoh Kristian lain juga menjadi kandungan bahagian ini di samping sebuah bab bertajuk Revelation atau “Wahyu” yang dipenuhi dengan kejadian-kejadian yang akan berlaku pada akhir zaman.

Di dalam Encarta Encyclopedia dinyatakan, “Bible agama Kristian mengandungi keseluruhan kitab suci agama Yahudi. Kalimat Old Testament merujuk kepada tulisan-tulisan yang berkaitan dengan agama Yahudi ini… Justeru, Bible Kristian mempunyai dua bahagian, iaitu 39 bab Perjanjian Lama dan 27 bab Perjanjian Baru.” Perlu diingatkan, orang Yahudi tidak menerima Perjanjian Baru sebagai kitab yang diwahyukan tetapi orang Kristian menerima kitab Perjanjian Lama sebagai kitab suci mereka. Hal ini kerana orang Kristian tidak mempunyai syariatnya sendiri, mereka hanya mengikut syariat Nabi Musa berpandukan kitab Taurat.

Bible asal tidak wujud lagi

Bible yang asal tidak wujud lagi. Di dalam The Interpreter’s Dictionary of the Bible dinyatakan, “Tulisan-tulisan asal Perjanjian Baru sudah lama tiada. Perkara ini tidaklah mengejutkan kerana naskhah-naskhah itu ditulis di atas bahan-bahan yang tidak tahan lama…” Pendapat yang sama disebutkan di dalam The Catholic Encyclopedia, “Pendapat yang mengatakan bahawa Bible yang lengkap seperti asal masih wujud adalah tidak berasas sama sekali. Bible yang kini menjadi pegangan umum, termasuk Perjanjian Lama, sudah melalui beberapa perkembangan dan proses… Sehingga akhirnya isi-isinya diputuskan secara rasmi oleh Tridentine Council atau Majis Trident.”

Terdapat tokoh-tokoh Kristian yang berpendapat, Bible adalah dokumen yang dikeluarkan oleh pihak gereja. Di dalam Denver Bulletin (Mac 1995, jilid 3, no. 3) menjelaskan, “Landasan perjalanan gereja tidak didasarkan kepada Bible kerana isi-isi Bible ditentukan oleh pihak gereja. Pada abab-abad awal agama Kristian, tidak ada seorang manusia pun yang dapat menyentuh kitab yang bernama ‘Bible’ kerana ia memang tidak wujud.” Oleh kerana Bible yang asal tidak wujud, periwayat-periwayat Bible terpaksa menggunakan pelbagai sumber yang tidak sahih bagi menulis isi Bible. Di dalam The Anchor Bible Dictionary dijelaskan, “Disebabkan salinan asal Bible tidak wujud lagi, isi Bible terpaksa dibina dengan menggunakan teks-teks yang tidak sempurna dan ia seringkali bercanggah antara satu sama lain.”

Bart Ehrman di dalam The Orthodox Corruption of Scripture menulis, “Manuskrip asal Bible tidak wujud lagi pada hari ini, yang ada ada hanyalah salinan yang ditiru daripada salinan yang sebelumnya. Sebanyak 5,366 daripada salinan-salinan purba ini ditulis dalam bahasa Greek klasik atau Yunani purba antara abad ke-2 hingga ke-16 Masihi. Yang menarik perhatian, tidak wujud persamaan kecuali sedikit sahaja antara satu salinan dengan salinan yang lain. Tidak ada sesiapa pun yang tahu jumlah sebenar percanggahan ini tetapi mungkin ia mencecah ratusan ribu.”

Bible yang ada hari ini ditulis dan dibukukan dengan berpandukan salinan-salinan yang tidak sahih ini. Sejarah juga membuktikan bahawa kisah hidup Nabi Isa yang terdapat di dalam empat Gospel, disusun berdasarkan cerita orang-orang Kristian terdahulu. Peake’s Commentary on the Bible membuktikan, “Memang diketahui umum, Gospel adalah berasaskan khabar-khabar lisan orang-orang Kristian terdahulu dan hal ini melahirkan banyak variasi berhubung perkataan dan perbuatan Nabi Isa. Semua ini dilakukan secara sengaja ataupun tidak sengaja oleh penulis Gospel…”

Dalam meriwayatkan kisah Nabi Isa, penulis-penulis Gospel seringkali tidak menyalin atau menceritakan semula kisah-kisah itu dengan tepat. Hal ini diakui sendiri oleh seorang tokoh Kristian, Bruce M. Metzger di dalam The Text of the New Testament: Its Transmission, Corrupton and Restoration. Beliau menulis, “Penulis-penulis tidak menulis dengan tepat sumber yang mereka temui, sebaliknya mereka menulis penafsiran sendiri berhubung sumber-sumber itu. Mereka melakukannya bagi membetulkan kesilapan penulis-penulis lain, tetapi yang sebenarnya berlaku ialah mereka mendedahkan kesilapan penulisan mereka sendiri.” Perkara yang sama turut melanda Perjanjian Lama. Di dalam The Interpreter’s Dictionary of the Bible menyatakan, “Banyak kisah yang terdapat di dalam Perjanjian Lama mengikt gaya dan olahan penulis-penulisnya…”

Penulis-penulis Bible juga tidak menggunakan metodologi yang meyakinkan ketika memilih sumber-sumber fakta dan maklumat yang mereka temui. Justeru, kredibiliti penulisan mereka sering dipertikaikan dan hal ini turut menjejaskan kredibiliti Bible yang diuar-uarkan oleh orang Yahudi dan Kristian sebagai firman Tuhan. Apa yang pasti, Bible yang asal sememangnya sudah tidak wujud lagi. Yang ada kini hanyalah tulisan-tulisan yang telah diedit dan ditokok tambah oleh manusia biasa.

No comments:

My Family...

My Family...
kenangan terindah bersama spupuku...

My Family...

My Family...
My lovely person... (atok & nenek)