Maka Tuhan berfirman kepada Hawa, “TUHAN Allah berfirman kepada perempuan itu, “Aku akan menambah kesusahanmu semasa engkau hamil, dan juga kesakitanmu pada masa engkau bersalin. Walaupun demikian, engkau akan tetap berahi kepada suamimu, namun engkau akan tunduk kepadanya.” (Kejadian 3:16). Kepada Adam, Dia berfirman, “Kemudian TUHAN Allah berfirman kepada lelaki itu, “Engkau mendengarkan kata-kata isterimu, lalu makan buah yang Aku larang engkau makan. Oleh sebab perbuatanmu itu, terkutuklah tanah. Engkau mesti bekerja keras seumur hidupmu agar tanah ini dapat menghasilkan makanan yang cukup.” (Kejadian 3:17).
Konsep Islam mengenai ciptaan manusia pertama dijumpai di beberapa tempat di dalam al-Quran, antara contohnya adalah, “(Dan Allah berfirman): “Hai Adam bertempat tinggallah kamu dan isterimu di syurga serta makanlah olehmu berdua (buah-buahan) di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini, lalu menjadilah kamu berdua termasuk orang-orang yang zalim.” Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka iaitu auratnya dan syaitan berkata, “Tuhan kamu tidak melarangmu dari mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang yang kekal (di dalam syurga).” Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya, “Sesungguhnya aku adalah termasuk orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua,” maka syaitan memujuk keduanya (untuk memakan buah itu) dengan tipu daya. Tatkala keduanya telah merasai buah kayu itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya, dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun syurga. Kemudian Tuhan mereka menyeru mereka, “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pohon kayu itu dan Aku katakan kepadamu, “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?” Keduanya berkata, “Ya Tuhan kami, kami telah menganiayai diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang rugi.” (Al-A’raf 7:19-23).
Pemerhatian yang teliti ke atas kedua-dua kisah penciptaan ini mendedahkan beberapa perbezaan yang penting. Tidak seperti Bible, al-Quran meletakkan beban kesalahan yang sama ke atas kedua-dua Adam dan Hawa atas kesalahan mereka. Seseorang tidak akan menjumpai di mana-mana di dalam al-Quran walau sedikit pun kiasan bahawa Hawa menggoda Adam untuk memakan dari pohon tersebut, atau bahawa beliau memakannya sebelum Adam memakannya. Di dalam al-Quran, Hawa bukan penggoda dan dia bukan yang memperdayakan Adam. Tambahan lagi, Hawa juga tidak dibebankan dengan menanggung kesakitan melahirkan anak. Menurut al-Quran, Tuhan tidak menghukum seseorang disebabkan kesalahan orang lain. Kedua-dua Adam dan Hawa telah berbuat dosa dan telah memohon keampunan Tuhan dan Dia telah mengampunkan mereka. Firman Allah dalam al-Quran, “Kemudian Adam menerima beberapa kalimat (pengakuan taubat) dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Al-Baqarah 2:37).
WANITA MENURUT PERJANJIAN LAMA
Berikut adalah kedudukan wanita mengikut Perjanjian Lama sebagaimana yang tercatat di dalam Bible Alkitab versi Today’s Malay Version (1996) terbitan The Bible Society of Malaysia:
- “Lelaki itu menjawab, “Perempuan yang Engkau jadikan temanku memberikan buah itu kepadaku, lalu aku memakannya.” TUHAN Allah bertanya kepada perempuan itu, “Mengapa engkau melakukan hal itu?” Perempuan itu menjawab, “Ular menipu aku sehingga aku makan buah itu.” Kemudian TUHAN Allah berfirman kepada ular itu, “Terkutuklah engkau kerana perbuatan itu; antara semua binatang, hanya engkau yang harus menanggung kutukan ini. Mulai sekarang engkau akan menjalar dan makan debu seumur hidupmu. Engkau dan perempuan itu akan saling membenci; keturunannya dan keturunanmu akan sentiasa bermusuhan. Keturunannya akan meremukkan kepalamu dan engkau akan mematuk tumit mereka.” TUHAN Allah berfirman kepada perempuan itu, “Aku akan menambah kesusahanmu semasa engkau hamil, dan juga kesakitanmu pada masa engkau bersalin. Walaupun demikian, engkau akan tetap berahi kepada suamimu, namun engkau akan tunduk kepadanya.” (Kejadian 3:12-16).
- “TUHAN memberi Musa peraturan-peraturan berikut bagi umat Israel. Apabila seorang wanita melahirkan seorang anak lelaki, wanita itu najis selama tujuh hari seperti pada masa haidnya. Pada hari kelapan, anak itu harus disunat. Selepas itu, wanita itu masih najis selama tiga puluh tiga hari lagi kerana mencucurkan darah nifas. Dia tidak boleh menyentuh apa sahaja yang digunakan untuk beribadat, ataupun masuk ke dalam Khemah TUHAN sebelum habis masa penyuciannya. Apabila seorang wanita melahirkan seorang anak perempuan, wanita itu najis selama empat belas hari seperti pada masa haidnya. Selepas itu, wanita itu masih najis selama enam puluh enam hari lagi kerana mencucurkan darah nifas. Apabila habis masa penyuciannya, baik bagi kelahiran anak lelaki ataupun anak perempuan, wanita itu harus membawa seekor anak domba yang berumur satu tahun bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan seekor burung merpati atau burung tekukur bagi korban untuk mengampunkan dosa, kepada imam di pintu Khemah TUHAN. Imam itu akan mempersembahkan persembahan wanita itu kepada TUHAN dan melakukan upacara untuk menghapuskan kenajisannya. Selepas itu barulah wanita itu tahir. Inilah yang mesti dilakukan oleh seorang wanita setelah melahirkan anak. Jika wanita itu tidak mampu membeli seekor anak domba, dia harus membawa dua ekor burung merpati atau burung tekukur, seekor bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan seekor lagi bagi korban untuk mengampunkan dosa. Imam akan melakukan upacara untuk menghapuskan kenajisannya. Selepas itu barulah wanita itu tahir.” (Imamat 12:2-5).
- “Aku mendapati hal ini lebih pahit daripada maut: Seorang wanita yang menggunakan cinta sebagai jala atau perangkap untuk menangkap mangsa; pelukannya seperti belenggu yang mengikat dengan erat. Orang yang melakukan kehendak Allah dapat melepaskan diri, tetapi orang berdosa akan ditangkapnya. Lihat, kata Si Pemikir: Aku mengetahui hal itu sedikit demi sedikit sedang aku mencari jawapannya. Aku telah mencari jawapan lain juga, tetapi tidak berhasil. Antara seribu orang, aku menemui seorang lelaki yang dapat aku hormati, tetapi antara mereka tiada seorang wanita yang dapat aku hormati.” (Pengkhutbah 7:26-28).
- “Apabila seorang perempuan sedang haid, dia najis selama tujuh hari. Sesiapa yang menyentuh dia menjadi najis sehingga matahari terbenam. Apa sahaja yang diduduki atau ditiduri perempuan itu ketika dia haid, benda itu pun menjadi najis. Sesiapa yang menyentuh katil perempuan itu atau apa sahaja yang sudah didudukinya, orang itu mesti mencuci pakaiannya serta mandi, dan dia tetap najis sehingga matahari terbenam. Jika seorang lelaki bersetubuh perempuan yang sedang haid, lelaki itu dicemari oleh kenajisan perempuan itu, maka lelaki itu pun menjadi najis selama tujuh hari. Setiap tempat tidur yang ditiduri lelaki itu juga menjadi najis. Jika seorang perempuan mengalami pendarahan selama beberapa hari di luar masa haidnya, atau jika pendarahannya belum berhenti sesudah masa haidnya yang biasa, dia menjadi najis selama pendarahan itu, seperti pada masa dia haid. Setiap tempat tidur yang ditidurinya, atau apa sahaja yang didudukinya pada masa itu pun menjadi najis. Sesiapa yang menyentuh benda itu menjadi najis dan mesti mencuci pakaiannya dan mandi; orang itu tetap najis sehingga matahari terbenam. Setelah pendarahan perempuan itu berhenti, dia harus menunggu selama tujuh hari, barulah dia tahir. Pada hari kelapan, dia harus membawa dua ekor burung merpati atau dua ekor burung tekukur kepada imam di pintu Khemah TUHAN. Imam itu akan mempersembahkan seekor daripada burung itu sebagai korban untuk mengampunkan dosa dan seekor lagi sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Dengan cara ini imam melakukan upacara penyucian bagi perempuan itu.” (Imamat 15:19-30).
WANITA MENURUT PERJANJIAN BARU
Berikut adalah pesanan-pesanan St. Paul sebagaimana yang tercatat di dalam Bible Alkitab versi Today’s Malay Version (1996) terbitan The Bible Society of Malaysia:
- “Wanita harus belajar dengan berdiam diri dan dengan rendah hati. Aku tidak membenarkan wanita mengajar ataupun memerintahi lelaki; wanita mesti berdiam diri. Hal ini demikian kerana Adam yang diciptakan dahulu, kemudian barulah Hawa. Lagi pula bukan Adam yang ditipu, tetapi wanita yang tertipu, sehingga melanggar perintah Allah.” (1 Timotius 2:11-14).
- “Allah ialah Allah yang suka akan ketertiban, bukan kekacauan. Seperti yang berlaku di semua perjumpaan jemaah Allah, kaum wanita haruslah berdiam diri. Mereka tidak dibenarkan berkata-kata; mereka harus patuh kerana demikianlah ajaran Taurat. Jika mereka hendak mengetahui sesuatu, mereka harus bertanya kepada suami mereka di rumah. Amatlah memalukan jika seorang wanita berkata-kata di perjumpaan jemaah.” (1 Korintus 14:34-35).
- “Jika seorang wanita tidak menudung kepala ketika berdoa atau menyampaikan perkhabaran daripada Allah di hadapan orang ramai, dia mempermalukan suaminya. Wanita itu seperti wanita yang kepalanya dicukur. Jika seorang wanita tidak mahu menudung kepalanya, lebih baik dia menggunting rambut. Tetapi amat memalukan jika seorang wanita dicukur kepalanya ataupun digunting rambutnya. Oleh itu lebih baik dia menudung kepalanya. Seorang lelaki tidak perlu menudung kepala, kerana dia mencerminkan rupa dan kemuliaan Allah. Tetapi wanita mencerminkan kemuliaan lelaki, kerana lelaki tidak dijadikan daripada wanita, melainkan wanita dijadikan daripada lelaki. “Begitu juga lelaki tidak dijadikan untuk kepentingan wanita, tetapi wanita dijadikan untuk kepentingan lelaki. Oleh itu, kerana malaikat-malaikat, seorang wanita harus menudung kepala sebagai tanda bahawa dia dibenarkan berdoa.” (1 Korintus 11:5-10).
- “Baiklah kamu pertimbangkan sendiri: Patutkah seorang wanita berdoa kepada Allah di hadapan orang ramai dengan tidak menudung kepala?” (1 Korintus 11:13).
Dengan kata lain, Bible mengajarkan bahawa:
- Wanita harus mendiamkan diri dan mengetepikan keinginan diri sendiri.
- Wanita tidak patut mengajar.
- Wanita tidak mempunyai kuasa ke atas lelaki, sebaliknya harus berdiam diri.
- Adam dan Hawa tidak sama dalam dosa mereka. Adam tidak tertipu, sebaliknya Hawa tertipu.
- Wanita diperintahkan mematuhi kaum lelaki. Tuhan menetapkan bahawa lelaki memerintah wanita selamanya.
- Wanita mesti berdiam diri di dalam gereja. Adalah memalukan jika mereka bercakap. Jika mereka mempunyai soalan, mereka perlu bertanya kepada suami mereka sebelum pergi ke gereja dan suami mereka akan bertanya bagi pihak mereka di gereja.
- Wanita tidak boleh sembahyang atau membuat pengakuan dengan kepalanya tidak ditutup.
- Jika wanita bersembahyang dengan kepalanya tidak ditutup, lebih baiklah dia mencukur kepalanya.
- Lelaki dicipta daripada rupa dan kemuliaan Tuhan, dan wanita dicipta daripada kemuliaan lelaki, maka lelaki berkuasa ke atas mereka.
- Wanita yang melahirkan bayi lelaki tidak suci selama seminggu, tetapi wanita yang melahirkan bayi perempuan tidak suci selama DUA minggu. Maka bayi perempuan adalah DUA KALI tidak suci berbanding bayi lelaki.
- Adalah mungkin untuk menemui seorang lelaki yang lurus dalam seribu lelaki, tetapi adalah mustahil untuk menemui walau seorang wanita yang lurus dalam seribu wanita.
- Wanita adalah perangkap, hatinya adalah jerat, dan tangannya adalah belenggu. Lelaki yang mematuhi Tuhan akan terlepas daripadanya, tetapi beliau akan memerangkap mereka yang berdosa.
- Jika seorang wanita yang sedang haid menyentuh kerusi, katil atau apa sahaja, maka apa yang disentuhnya menjadi tidak suci. Sesiapa yang menyentuh barang tersebut juga menjadi tidak suci. Mereka mesti mandi dan membersihkan pakaian mereka kerana telah menyentuh barang yang disentuh oleh seorang wanita yang sedang haid.
WANITA MENURUT AL-QURAN
Semasa Nabi Muhammad mula-mula menjadi rasul, golongan penyembah berhala Arab mewarisi sikap mengabaikan wanita sepertimana yang telah diturunkan kepada jiran Yahudi dan Kristian mereka. Kelahiran anak perempuan amat memalukan mereka sehingga mereka sanggup menanam bayi ini hidup-hidup untuk mengelakkan menanggung malu. Melalui ajaran Islam, Nabi Muhammad telah menghapuskan amalan buruk ini. Baginda tidak hanya melarang dan mengutuk keras amalan ini, tetapi baginda juga mengajar mereka untuk menghormati dan menghargai anak-anak perempuan dan ibu-ibu sebagai teman yang dapat menyelamatkan keluarga mereka.
Maka apa pula ketetapan al-Quran mengenai wanita? Memang wanita diperintahkan oleh Allah supaya menutup kepala mereka dan berpakaian sopan, tetapi di dalam Islam ini bukanlah lambang merendahkan diri atau menyerah kepada lelaki, sebaliknya ia adalah lambang kesucian, kesopanan dan ketakwaan kepada Allah. Ini juga adalah sebagai tanda kepada semua lelaki yang berurusan dengannya supaya menghormatinya. Bandingkan keadaan ini dengan keadaan di Barat apabila seseorang bertemu dengan rahib atau paderi, pakaian rahib dan paderi tersebut adalah tanda kepada mereka yang menemuinya untuk tidak berkelakuan atau bercakap yang tidak sopan. Justeru, mari kita selami apa yang diungkapkan oleh al-Quran tentang kaum wanita ini:
- “Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang makruf.” (Al-Baqarah 2:228).
- “Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman), “Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik lelaki atau perempuan, (kerana) sebahagian kamu adalah keturunan dari sebahagian yang lain.” (Ali Imran 3:195).
- “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (An-Nisa’ 4:32).
- “Bagi orang lelaki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan.” (An-Nisa’ 4:7).
- “Barangsiapa yang mengerjakan amal-amal salih, baik lelaki mahupun wanita sedang ia orang yang beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikit pun.” (An-Nisa’ 4:124).
- “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah 9:91).
- “Barangsiapa yang mengerjakan amal salih, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (An-Nahl 16:97).
- “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Ar-Rum 30:21).
- “Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, kecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (An-Nisa’ 4:19).
KESIMPULAN
Berdasarkan perbandingan status wanita menurut al-Quran dan Bible, jelas menunjukkan bahawa al-Quran lebih memuliakan wanita berbanding Bible. Hal ini menangkis fitnah yang mengatakan bahawa wanita adalah warga kelas dua dalam Islam, lelaki berkuasa mutlak ke atas wanita, wanita dipaksa memakai tudung sebagai lambang penghinaan dan bermacam-macam dakwaan yang tidak berasas. Apa yang jelas di sini, Bible sendiri meletakkan kedudukan wanita pada tempat yang tidak sepatutnya seperti lelaki berkuasa mutlak ke atas wanita, wanita tidak mempunyai hak untuk bercakap di dalam gereja, wanita harus tunduk dan mengikut kemahuan lelaki dan bermacam-macam perintah yang jelas menghina wanita.
Nabi Muhammad pernah bersabda, “Sesiapa yang membesarkan dua orang anak perempuan sehingga mereka dewasa, dia dan aku pada hari akhirat akan adalah seperti ini, dan beliau merapatkan jari-jarinya.” (Riwayat Abu Daud). Abdullah bin Abbas pernah merekodkan suatu hadis daripada Nabi Muhammad bahawa baginda bersabda, “Jika seseorang mempunyai seorang anak perempuan dan tidak menanamnya hidup-hidup, atau mengabaikannya, atau melebihkan anak lelakinya daripada anak perempuannya, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga.” (Riwayat Abu Daud). Hal yang sama turut disentuh sebagaimana yang direkodkan oleh Abu Said al-Khudri bahawa baginda bersabda, “Jika seseorang membesarkan tiga orang anak perempuan, mendidik mereka, mengahwinkan mereka dan berbuat baik terhadap mereka, dia akan masuk syurga.” (Riwayat Abu Daud).
No comments:
Post a Comment