Sekadar selingan...

Sekadar selingan...

Saturday, December 15, 2007

Embriologi Menurut Al-Quran

Manusia dicipta daripada ‘alaq (seperti lintah)

Beberapa tahun dahulu, sekumpulan pelajar Arab telah mengumpul data tentang embriologi daripada al-Quran. Mereka juga mengikut setiap arahan mengenai embriologi seperti yang terdapat dalam al-Quran. Ayat al-Quran berikut menjadi pembakar semangat mereka untuk terus mengkaji kebenaran firman Allah, al-Quran yang mulia:

Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui. (An-Nahl 16:43)

Kumpulan pelajar tadi mengumpul maklumat mengenai embriologi daripada al-Quran dan menterjemahkannya ke dalam bahasa Inggeris. Mereka kemudiannya berjumpa Profesor Dr. Keith Moore untuk mendapatkan keterangan terperinci tentang apa yang disebut dalam al-Quran mengenai embriologi. Prof. Keith Moore merupakan seorang Profesor Embriologi dan Pengerusi Jabatan Anatomi di Universiti Toronto, Kanada dan beliau juga seorang yang pakar dalam bidang ini. Selepas membuat kajian terperinci mengenai terjemahan ayat-ayat al-Quran, beliau mengatakan bahawa fakta yang terkandung dalam al-Quran mengenai embriologi adalah amat bertepatan dengan fakta sains moden.

Walau bagaimanapun, beliau tidak dapat memberi penjelasan bagi beberapa ayat al-Quran, disebabkan beliau tidak mempunyai fakta mengenainya. Dalam al-Quran, Allah menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada ‘alaq sebagaimana firman-Nya:

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. (Al-‘Alaq 96:1-2)

Perkataan Arab ‘alaq di samping bermakna ‘seketul darah’, ia juga bermaksud ‘sesuatu yang bersifat seperti lintah’ iaitu dari segi cara makannya dan kedudukannya yang ‘bergantung’. Prof. Keith Moore pada permulaanya tidak mengetahui sama ada janin atau embrio mempunyai sifat seperti lintah. Selepas membuat kajian dengan terperinci dengan menggunakan mikroskop yang canggih, beliau terkejut apabila mendapati bahawa ‘alaq benar-benar menyerupai seekor lintah. Oleh itu, dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan embriologi, beliau berjaya mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai bidang ini.

Prof. Keith Moore dapat menjawab sebanyak 80 soalan yang diutarakan kepada beliau dalam bidang embriologi yang dipetik daripada al-Quran dan Hadis. Menurut Prof. Keith Moore, jika soalan-soalan ini diajukan kepada beliau 30 tahun yang lalu, beliau sudah tentu tidak dapat menjawabnya kerana kekurangan fakta-fakta saintifik dalam bidang ini. Tetapi dengan bantuan alatan yang canggih, Prof. Keith Moore dapat membuktikan kebenaran fakta-fakta yang terkandung dalam al-Quran mengenai embriologi.

Sebelum ini, Prof. Keith Moore telah menulis sebuah buku The Developing Human. Walau bagaimanapun, selepas mendapat maklumat yang banyak mengenai embriologi daripada ayat-ayat al-Quran, beliau sekali lagi berjaya menulis edisi ke-3 bagi buku tersebut pada tahun 1982. Melalui buku tersebut, beliau telah berjaya memenangi Anugerah Buku Perubatan Terbaik yang ditulis oleh seorang saintis. Buku ini juga telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa utama di dunia dan ia menjadi buku rujukan dalam bidang embriologi bagi pelajar-pelajar perubatan tahun pertama.

Pada tahun 1981, semasa Persidangan Perubatan ke-7 di Dammam, Arab Saudi, Prof. Keith Moore menegaskan bahawa ayat al-Quran tentang embriologi pastinya datang daripada Allah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad. Ini kerana manusia pada zaman itu setentunya manusia tidak pernah terfikir tentang perkara ini dan ini jelas menunjukkan bahawa Nabi Muhammad pastinya seorang utusan Allah. (Rujukan daripada pita video This is the Truth).

Dr. Joe Leigh Simpson, Pengerusi Jabatan Sakit Puan di Kolej Perubatan Baylor, Amerika Syarikat pula mengatakan bahawa sabda-sabda Nabi Muhammad yang terkandung dalam Hadis pastinya bukan berdasarkan kepada fakta sains yang ada pada zaman baginda iaitu pada abad ke-7, kerana perkara begini tentunya tidak pernah terlintas di fikiran manusia pada masa itu.

Manusia dicipta daripada setitis air mani yang terhasil di antara tulang belakang dan tulang rusuk

Hal ini dinyatakan oleh al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud:

Maka hendaklah manusia memperhatikan dari apakah dia diciptakan? Dia diciptakan dari air yang dipancarkan, yang keluar dari antara tulang sulbi lelaki dan tulang dada perempuan. (At-Tariq 86:5-7)

Dalam peringkat janin atau embrio, organ reproduksi bagi lelaki dan perempuan iaitu testis dan ovari memulakan pembesarannya berhampiran dengan buah pinggang yang terletak di antara tulang belakang dan tulang rusuk yang ke-11 dan ke-12. Kemudian organ reproduksi tersebut akan ‘turun ke bawah’. Ovari berhenti dalam pelvis manakala testis terus turun ke skrotum. Semasa dewasa, organ reproduksi masih lagi menerima saraf dan bekalan darah aorta abdomen yang terletak antara tulang belakang dan tulang rusuk. Begitu juga dengan salur limfa dan salur darah venul yang berulang-alik ke tempat yang sama.

Manusia dicipta daripada nutfah (cecair yang sedikit)

Berkenaan dengan fakta di atas, al-Quran menukilkan:

Dia telah menciptakan manusia dari mani, tiba-tiba dia menjadi pembantah yang nyata. (An-Nahl 14:4)

Apakah kamu kafir kepada (Tuhan) yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitis air mani, lalu Dia menjadikan kamu seorang lelaki yang sempurna? (Al-Kahfi 18:37)

Dan Allah menciptakan kamu dari tanah kemudian dari air mani, kemudian Dia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan). (Fatir 35:11)


Al-Quran yang mulia menyebut tidak kurang daripada 11 kali mengenai manusia dicipta daripada nutfah. Fakta yang tersebut dalam al-Quran diakui oleh sains moden, iaitu hanya satu sperma lelaki yang diperlukan untuk proses persenyawaan dengan ovum perempuan. Ini bererti, 1 daripada 3 juta atau 0.00003% daripada sperma yang diperlukan untuk proses tersebut. Hal ini menepati kalimat nutfah kerana ia merujuk kepada cecair mani yang sedikit.

Manusia dicipta daripada sulalat (saripati air mani)

Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

Kemudian Dia menjadikan keturunannya dari saripati air yang hina. (As-Sajadah 32:8)

Perkataan Arab yang digunakan dalam ayat di atas ialah sulalat yang bererti ‘saripati air mani’. Sebagaimana yang kita ketahui, hanya satu sperma lelaki yang diperlukan untuk tujuan persenyawaan dengan ovum, oleh itu perkataan sulalat digunakan untuk merujuk kepada sperma tersebut.

Manusia dicipta daripada nutfatin amsyaaj (cecair yang bercampur)

Perhatikan ayat al-Quran di bawah:

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat. (Al-Insan 76:2)

Perkataan Arab dalam ayat di atas ialah nutfatin amsyaaj yang bermaksud ‘cecair yang bercampur’, iaitu cecair dari pihak lelaki dan perempuan.

Penentuan jantina

Penentuan jantina pada janin ditentukan oleh sperma lelaki dan bukannya ovum perempuan. Jantina seorang bayi sama ada lelaki atau perempuan bergantung kepada pasangan 23 kromosom sama ada XX atau XY. Dengan kata lain, jika sperma X disenyawakan dengan ovum, maka jantina bayi adalah perempuan. Manakala jika sperma Y disenyawakan dengan ovum, maka jantina bayi adalah lelaki. Hal ini telah diterangkan di dalam al-Quran oleh Tuhan Yang Maha Berkuasa:

Dan bahawasanya Dialah yang menciptakan berpasang-pasangan lelaki dan wanita, dari air mani apabila dipancarkan. (An-Najm 53:47)

Perkataan Arab nutfah dalam ayat al-Quran di atas bermaksud ‘cecair yang sedikit’ dan perkataan tumnaa pula bermaksud ‘yang terpancar’. Oleh itu, perkataan nutfah dalam ayat ini sememangnya dikhususkan kepada sperma lelaki kerana ia ‘terpancar’. Perhatikan pula terjemahan ayat al-Quran di bawah:

Bukankah dia dahulu setitis mani yang ditumpahkan (ke dalam rahim)? Kemudian mani itu menjadi segumpal darah, lalu Allah menciptakannya, dan menyempurnakannya, lalu Allah menjadikan daripadanya sepasang lelaki dan perempuan. (Al-Qiyamah 75:37-39)

Dalam ayat di atas juga disebut nutfatan min maniyyin yang bererti ‘cecair yang sedikit’ yang ia merujuk kepada sperma. Ini jelas membuktikan bahawa lelaki yang bertanggungjawab menentukan jantina janin. Ibu-ibu mertua di negara-negara Asia seperti India, Malaysia, China dan sebagainya biasanya inginkan cucu lelaki dan mereka akan menyalahkan menantu-menantu perempuan jika mereka melahirkan bayi perempuan. Tetapi, mereka tidak mengetahui bahawa sebenarnya anak-anak lelaki merekalah yang bertanggungjawab menentukan jantina bakal cucu mereka.

Janin diselaputi oleh tiga kegelapan

Hal ini merupakan salah satu bukti yang menunjukkan kemukjizatan al-Quran. Tidak mungkin seseorang dapat mengetahuinya tanpa menggunakan alatan yang canggih. Al-Quran mengungkapkan:

Dia menjadikan kamu dalam perut ibumu kejadian demi kejadian dalam tiga kegelapan. Yang (berbuat) demikian itu adalah Allah, Tuhan kamu, Tuhan Yang mempunyai kerajaan. (Az-Zumar 39:6)

Hal ini diakui oleh penemuan sains moden. Menurut Prof. Keith Moore, selaput kegelapan yang disebut dalam al-Quran ialah, pertama, perut ibu yang di hadapan. Kedua, dinding uterus dan ketiga, kulit amnio-chorionic. Mengikut Al-Quranul Karim wa Tarjamah Ma’aniah ilal Lughatul Indonesiah muka surat 746 dinyatakan bahawa tiga kegelapan tersebut merujuk kepada kegelapan dalam perut ibu, kegelapan dalam rahim dan kegelapan dalam selaput yang menutup anak dalam rahim.

Peringkat-peringkat pembentukan janin

Mengenai peringkat-peringkat kejadian janin dalam kandungan ibu, al-Quran memberikan banyak maklumat mengenainya, antaranya adalah sebagaimana firman Allah berikut:

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang-belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik. (Al-Mukminun 23:12-14)

Dalam ayat ini, Allah menjelaskan bahawa manusia dicipta daripada cecair yang sedikit atau nutfah yang diletakkan di tempat yang kukuh iaitu rahim atau qararin makiin. Uterus dilindungi dengan baik dari arah belakang, melalui tulang belakang dan otot-ototnya. Janin tersebut juga dilindungi lagi oleh kulit yang mengandungi cecair amnion atau amniotic fluid. Kemudian cecair yang sedikit ini dijadikan ‘alaqah yang bererti ‘sesuatu yang bergantung’ dan ia menyerupai seekor lintah. ‘Alaqah juga bermaksud ‘segumpal darah’. Ini berlaku semasa minggu ketiga dan keempat mengandung.

Pada tahun 1677, Hamm dan Leeuwenhoek adalah dua orang saintis pertama yang telah berjaya mengkaji sperma manusia dengan menggunakan mikroskop. Mereka beranggapan bahawa satu sperma mengandungi manusia kecil yang lengkap beranggota dan ia akan membesar dalam rahim ibu dan membentuk seorang bayi. Anggapan ini dikenali sebagai teori Perforation. Walau bagaimanapun, apabila para saintis menemui bahawa ovum perempuan sebenarnya lebih besar saiznya daripada sperma lelaki, seorang saintis, De Graf dan saintis lain berpendapat bahawa ‘manusia kecil’ yang dikatakan terdapat dalam sperma sebenarnya terdapat dalam ovum. Kemudiannya pada abad ke-18, Maupertuis telah mengetengahkan teori Biparental Inheritance dan teori ini merujuk kepada gabungan sperma dan ovum bertanggungjawab dalam pembentukan bayi yang sempurna.

‘Alaqah ini kemudiannya bertukar menjadi mudghah yang bermaksud ‘segumpal daging’ seperti yang dinyatakan dalam terjemahan ayat di atas. Mudghah ini pula bertukar menjadi tulang-belulang atau izaam dan tulang-belulang ini dibungkus dengan otot atau daging dan dalam bahasa Arab ia disebut lahm. Kemudian Allah menjadikannya makhluk yang berbentuk lain, iaitu berlainan daripada bentuk sebelumnya yang seperti lintah yang bergantung.

Profesor Marshall Johnson mengetuai kumpulan saintis di Amerika Syarikat juga merupakan ketua Jabatan Anatomi dan Pengarah Institut Daniel di Universiti Thomas Jefferson di Philadelphia, Amerika Syarikat. Beliau telah diminta memberikan komen beliau mengenai embriologi yang dihuraikan dalam al-Quran. Beliau amat kagum dengan ketepatan huraian al-Quran mengenai peringkat-peringkat janin. Beliau mengatakan bahawa Nabi Muhammad pastinya mempunyai alatan mikroskop yang canggih sehingga dapat mengkaji dan memberi huraian yang tepat mengenainya. Namun begitu, beliau diingatkan bahawa pada zaman Nabi Muhammad, mikroskop masih belum dicipta. Akhirnya, beliau mengakui bahawa mikroskop yang mula-mula dicipta tidak dapat membesarkan imej sesuatu objek seni lebih daripada 10 kali dan imejnya tidak jelas. Profesor Johnson terpaksa menerima bahawa al-Quran adalah wahyu daripada Tuhan kepada Nabi Muhammad.

Menurut Prof. Keith Moore, cara moden peringkat-peringkat embriologi diklasifikasikan sebagai tidak jelas tetapi cara pengklasifikasian embriologi dalam al-Quran sangat mudah difahami. Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

Bukankah dia dahulu setitis mani yang ditumpahkan (ke dalam rahim)? Kemudian mani itu menjadi segumpal darah, lalu Allah menciptakannya, dan menyempurnakannya, lalu Allah menjadikan daripadanya sepasang lelaki dan perempuan. (Al-Qiyamah 75:37-39)

Hai manusia, apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat derhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh) kamu seimbang, dalam bentuk apa saja yang Dia kehendaki, Dia menyusun tubuhmu. (Al-Infitar 82:6-8)

Pertumbuhan janin: sebahagian sempurna dan sebahagian tidak sempurna

Allah berfirman di dalam al-Quran sebagaimana maksudnya:

Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setitis mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna. (Al-Hajj 22:5)

Pada peringkat mudghah, jika janin dibedah kita akan dapat melihat bahawa pertumbuhan sesetengah organ janin adalah sempurna dan selebihnya adalah tidak sempurna. Inilah yang dihuraikan dalam al-Quran 1,400 tahun lalu dan menurut Prof. Johnson, ini adalah satu huraian yang sangat tepat sebagaimana penemuan sains terkini.

Deria pendengaran dan penglihatan

Deria pertama yang dijadikan pada janin atau embrio ialah deria pendengaran. Oleh itu, janin yang berumur 24 minggu sudah mampu mendengar bunyi-bunyian. Manakala pada minggu yang ke-28 pula, deria penglihatan terbentuk pada janin. Perhatikan ayat-ayat al-Quran di bawah yang menghuraikan tentang proses-proses ini dengan tepat secara berturutan.

Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan-Nya) dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur. (As-Sajadah 32:9)

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat. (Al-Insan 76:2)

Dan Dialah yang telah menciptakan bagi kamu sekalian, pendengaran, penglihatan dan hati. Amat sedikitlah kamu bersyukur. (Al-Mukminun 23:78)


Mengikut kitab al-Asas fit Tafsir nukilan Syeikh Said Hawa dinyatakan bahawa ‘hati’ dalam ayat-ayat di atas merujuk kepada ‘akal’. Oleh itu, pada peringkat ini, deria-deria mula terbentuk. Ia bermula dengan telinga (pendengaran), diikuti dengan mata (penglihatan) dan akhirnya hati (akal). Prof. Keith Moore mengesahkan kebenaran urutan-urutan ini seperti yang dinyatakan oleh al-Quran. Ini jelas membuktikan huraian dalam al-Quran adalah bertepatan dengan fakta sains mengenai embriologi.

Kesimpulan

Huraian al-Quran mengenai proses kejadian embrio di dalam kandungan ibu menunjukkan bahawa kitab tersebut sebenarnya datang dari sisi Tuhan semesta alam. Sebagai kesimpulan, baik dinyatakan di sini ucapan Prof. E. Marshall Johnson ketika di Persidangan Perubatan ke-7 di Arab Saudi. Beliau berkata, “Al-Quran tidak hanya menceritakan perkembangan luaran embrio malah juga menjelaskan perkembangan dalamannya dan maklumat-maklumat ini sangat selari dengan penemuan sains kontemporari. Sebagai seorang saintis, saya hanya boleh berbincang dengan perkara yang saya faham. Dalam konteks ini, saya memahami ilmu embriologi dan pertumbuhan manusia serta saya juga memahami maksud kalimat-kalimat al-Quran yang diterjemahkan kepada saya. Justeru, saya boleh menerima hakikat bahawa apa yang dikatakan oleh Muhammad sebenarnya adalah maklumat daripada Tuhan.”

No comments:

My Family...

My Family...
kenangan terindah bersama spupuku...

My Family...

My Family...
My lovely person... (atok & nenek)