Sekadar selingan...

Sekadar selingan...

Saturday, December 15, 2007

Keaslian & Kesucian al-Quran Terjamin

Berbeza dengan Bible, kesucian dan keaslian kitab suci al-Quran tetap terpelihara hingga ke hari kiamat. Allah memeliharanya melalui beberapa cara. Antaranya adalah:

  1. Sahabat-sahabat Nabi Muhammad menulis setiap wahyu yang diturunkan kepada baginda. Penulis-penulis wahyu utama pada zaman tersebut ialah Zaid bin Thabit, Ubai bin Kaab, Muaz bin Jabal, Muawiyah bin Abu Sufian dan khalifah-khalifah yang empat. Catatan-catatan yang mereka lakukan dianggap sebagai catatan rasmi al-Quran.
  2. Ramai dari kalangan sahabat-sahabat Nabi Muhammad menghafaz al-Quran secara keseluruhannya. Antara mereka yang menonjol dalam bidang ini ialah Abdullah bin Mas’ud, Salim, Muaz dan Ubai bin Kaab.
  3. Hampir semua sahabat Nabi Muhammad dan umat Islam menghafaz sebahagian dari al-Quran untuk dibaca semasa solat atau di majlis-majlis tertentu.
  4. Sebahagian besar sahabat Nabi Muhammad memiliki catatan-catatan peribadi al-Quran untuk dibaca dari masa ke semasa.

Pada zaman khalifah Abu Bakar as-Siddiq, catatan-catatan al-Quran yang ditulis secara rasmi dihimpunkan dan kemudian ditulis semula di atas lembaran khas oleh Zaid bin Thabit. Lembaran ini disimpan oleh khalifah Abu Bakar. Semasa menulis, Zaid bin Thabit menggunakan metodologi yang begitu teliti. Bagi setiap catatan, beliau akan meminta dua orang sahabat yang menghafaz al-Quran supaya menjadi saksi dan mengesahkan kebenaran catatan beliau. Hal ini dilakukan semata-mata untuk mengelakkan sebarang kesilapan ketika berlangsungnya proses penyalinan wahyu al-Quran. Selepas kewafatan khalifah Abu Bakar, khalifah kedua iaitu Umar al-Khattab menyimpan lembaran al-Quran ini dan ia diserahkan kepada isteri Nabi Muhammad, Ummul Mukminin Hafsah. Pada zaman khalifah Uthman al-Affan, atas nasihat seorang sahabat bernama Huzaifah bin Yaman, lembaran al-Quran yang berada di tangan Ummul Mukminin Hafsah diambil untuk disalin semula dan dibukukan secara rasmi.

Sahabat-sahabat nabi yang terlibat dalam usaha pembukuan al-Quran ini ialah Zaid bin Thabit, Abdullah bin Zubair, Said bin ‘As dan Abdul Rahman bin Harith. Lima naskhah al-Quran berjaya ditulis dan dihantar ke Mekah, Syria, Basrah, Kufah dan senaskhah ditinggalkan di Madinah. Daripada manuskrip-manuskrip inilah al-Quran disalin dan dicetak tanpa sebarang pengubahsuaian dan tokok tambah sehingga boleh dibaca pada hari ini. Mengenai manuskrip al-Quran yang ditinggalkan di Madinah, Ibnu Jubair menceritakan bahawa beliau pernah melihat manuskrip ini di dalam Masjid Nabawi pada tahun 580 Hijrah bersamaan tahun 1184 Masihi. Manuskrip ini kemudiannya dibawa oleh pihak berwajib Turki ke Istanbul sebelum dipindahkan ke Berlin semasa Perang Dunia I. Akhirnya ia dikembalikan ke Istanbul melalui Perjanjian Versailles selepas peperangan tamat dan berada di sana sehinggalah ke hari ini.

Sebuah lagi manuskrip yang kekal tersimpan sehingga kini berada di Tashkent, Uzbekistan. Perincian mengenai manuskri-manuskrip ini boleh dibaca di dalam buku Ulum al-Quran hasil nukilan Ahmad Von Denffer terbitan The Islamic Foundation U.K.. Semua ini menunjukkan bahawa al-Quran yang menjadi pegangan umat Islam kini masih lagi tulen dan terpelihara kesuciannya. Andrian Brockett di dalam Value of Hafs and Warsh Transmission for the Textual History of the Quran menulis, “Perkembangan al-Quran selepas kewafatan Muhammad adalah statik tidak organik. Maksudnya, al-Quran hanya mempunyai satu teks sahaja yang tidak pernah ditokok tambah walaupun sedikit oleh sesiapa pun.” Sir William Muir menulis di dalam Life of Mahomet bahawa, “Besar kemungkinan tidak ada satu kitab pun di dunia ini yang mampu bertahan seperti al-Quran selama 12 abad (kini sudah lebih 14 abad) dalam keadaan keasliannya masih tetap utuh.” Prof. Laura Veccia Vaglieri di dalam bukunya yang bertajuk Apologia dell Islamismo berpendapat bahawa, “Satu lagi bukti yang menunjukkan bahawa al-Quran sebenarnya datang daripada Allah adalah kesucian teksnya yang tidak pernah tercemar abad berabad hingga ke hari ini dan saya yakin sampai bila-bila.”

Berdasarkan huraian di atas, jelaslah kepada kita bahawa kitab suci al-Quran adalah sebuah kitab yang sangat ajaib. Tidak ada kitab suci lain yang boleh menandingi kehebatan dan keajaiban al-Quran. Ia adalah sebuah kitab yang berada dalam pemeliharaan Allah, Tuhan semesta alam. Firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud, “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan peringatan (al-Quran) dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” (Al-Hijr 15:9).

Bagaimanakah gambaran kehebatan al-Quran? Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, “Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tidak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak berkatnya, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (An-Nur 24:35). Kehebatan dan keagungan al-Quran sebagai kalam Tuhan yang sebenarnya juga dinyatakan dalam ayat berikut, “Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (iaitu) al-Quran yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka pada waktu mengingati Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang disesatkan oleh Allah, nescaya tidak akan ada baginya seorang pemimpin pun.” (Az-Zumar 39:23).

Apabila seseorang individu telah menerima pancaran sinaran cahaya al-Quran, dia akan menjadikan kitab tersebut sebagai pegangan dan panduan hidup. Justeru, diperturunkan di bawah ini pengakuan beberapa individu yang telah menerima pancaran cahaya hebat al-Quran sehingga mereka memeluk Islam. (Dipetik daripada buku ‘Mengapa Saya Masuk Islam’ siri 1, Perniagaan Jahabersa).

  1. “Saya bagaikan tidak percaya dan saya tidak boleh berhenti membacanya dan saya terus membacanya untuk beberapa kali. Saya dapati bahawa bahasa al-Quran itu ringkas, jelas dan mudah difahami. Saya dapat rasakan sesuatu yang baru. Ia sesuatu yang benar-benar indah. Saya rasakan bahawa al-Quran itu seoah-olah berkata-kata kepada saya secara langsung. Saya dapat merasakan suatu perubahan dalaman atau perubahan jiwa dan saya tahu bahawa segala-galanya akan berubah untuk saya.” (HEDAYAH, agama asal: Kristian).
  2. “Ia sungguh indah. Saya akan mendengar pita-pita rakaman bacaan al-Quran selama berjam-jam lamanya, walaupun saya tidak tahu sama sekali apa maksud bacaan-bacaan tersebut. Malah pada hari ini pun, saya sangat suka untuk mendengar orang lain membacakan al-Quran kepada saya, dan saya masih belum lagi faham apakah maknanya, tetapi ia tetap menyentuh hati dan jiwa saya.” (AMIRAH, agama asal: Kristian).
  3. “Apabila saya mula mengkaji al-Quran, ia benar-benar ada satu daya tarikan terhadap saya. Mesej atau ayat-ayat yang terkandung di dalamnya benar-benar satu daya tarikan ajaib dan saya yakin bahawa ayat-ayat al-Quran itu adalah wahyu daripada Tuhan.” (ABDUL RAHIM GREEN, nama sebelum Islam: Anthony Green, agama asal: Kristian).
  4. “Selepas membaca artikel tersebut, saya mengambil keputusan untuk membeli senaskhah (terjemahan) al-Quran. Pada musim panas tahun itu, saya menghabiskan cuti saya dengan membaca kitab tersebut dari kulit depan ke kulit belakang. Ia benar-benar memeranjatkan saya. Sekian lama saya diajar tentang segala keajaiban yang dilakukan oleh Jesus dan perkara-perkara ajaib (lain) seperti Santa Claus, tetapi al-Quran mempunyai lebih banyak ajaran kemanusiaan. Ia adalah sebuah kitab yang memang dibuat untuk dibaca oleh manusia, bukan oleh makhluk-makhluk yang luar biasa. Dengan jelas, ia menerangkan tentang peraturan-peraturan dan cara hidup yang patut diamalkan oleh semua manusia. Semuanya memang logik dan sesuai dengan fitrah semulajadi manusia. Ajarannya ialah ajaran yang patut diketahui oleh seluruh manusia, tetapi mereka telah menolaknya dengan tidak disedari. Untuk beberapa lama, al-Quran itu sudah mencukupi bagi saya. Saya tidak berbuat lebih melainkan membaca bahagian-bahagian di dalam al-Quran itu berulang-ulang kali. Saya cuba memahami setiap ayat yang ditulis di dalam kitab suci tersebut. Sungguh, kesemuanya masuk akal. Tidak ada sebarang percanggahan. Tuhan hanyalah Tuhan Yang Maha Esa, iaitu Allah. Dia menekankan kepada kita supaya bersikap ihsan terhadap orang miskin dan (mementingkan) persaudaraan sesama Islam. Untuk beberapa lama, saya tidak memberitahu sesiapa pun yang saya telah membeli kitab tersebut.” (TAVIS ADIBUDEEN, agama asal: Kristian).
  5. “Inilah keindahan al-Quran. Ia akan membuatkan anda berfikir dan mencari jawapan, dan tidak menyembah matahari atau bulan, tetapi menyembah Tuhan Yang Maha Esa yang telah menciptakan segala-galanya. Al-Quran meminta manusia supaya berfikir sejenak tentang matahari dan bulan serta lain-lain ciptaan Tuhan… Saya masih belum memeluk Islam tetapi saya dapat rasakan bahawa satu-satunya jawapan untuk saya adalah al-Quran.” (Penyanyi pop terkenal, CAT STEVENS, nama Islam: Yusuf Islam, agama asal: Kristian).
  6. “Kebenaran Islam oleh didapati di dalam al-Quran. Al-Quran itu ibarat sebuah buku teks yang memberikan panduan hidup. Di dalamnya, anda akan dapati jawapan kepada segala persoalan… Lantas, saya ingin mengajak anda semua supaya memikirkan Islam. Islam yang sebenarnya ialah Islam yang diterangkan di dalam al-Quran, bukannya Islam yang diajarkan kepada kita di dunia Barat.” (ABDUL WAHID, graduan perkomputeran imperial 1999, agama asal: Kristian).
  7. “… saya merupakan seorang Kristian yang agak kuat dan rajin mentelaah kitab Bible. Tetapi, segala persoalan yang tidak dapat dijawab oleh Bible mampu dijawab oleh al-Quran. Pada mulanya, saya tidak suka membaca al-Quran kerana ia mengatakan bahawa Jesus bukannya anak Tuhan… Saya mula menanya diri saya, bagaimana saya boleh pasti yang Bible itu benar dan al-Quran itu salah… Saya tidak dapat mempercayai kata-kata guru saya yang mendakwa bahawa al-Quran adalah kitab yang dihasilkan oleh syaitan agar ia boleh menjadi kitab yang lebih baik lagi… Selepas itu, saya meneruskan pengajian saya, kini saya dapat membaca kitab Bible dengan cahaya yang baru. Saya dapat mengesan lebih banyak percanggahan dan kesalahan serta kesilapan fakta sains yang sebelum itu saya telah ketepikan dengan memberikan alasan bahawa sayalah yang tidak faham akan firman-firman Tuhan. Tetapi kesalahan dan percanggahan seperti itu tidak wujud sama sekali di dalam al-Quran. Dan apa yang al-Quran sebutkan mengenai Tuhan dan tujuan kita hidup di dunia ini, saya dapati adalah lebih logik dan lebih mudah untuk difahami.” (DIANA BEATTY, agama asal: Kristian).
  8. “Apabila saya membaca al-Quran, kemunasabahan serta logiknya al-Quran, fakta-fakta sains yang terkandung di dalam (tanpa sebarang percanggahan dan kesilapan), kesemuanya ini jelas menunjukkan kepada saya bahawa ia bukanlah kitab yang ditulis oleh manusia, tetapi ia benar-benar firman suci Tuhan.” (ULF KARLSSON, agama asal: Kristian).
  9. “Segala apa yang salah baca adalah munasabah dan dapat diterima akal.” (AISHA BHUTTA, pendakwah Muslimah di Barat, agama asal: Kristian).
  10. “Perlahan-lahan, saya mula mendalami al-Quran. Saya bertanya: “Bolehkah seorang manusia mengarang sebuah kitab yang begitu lunak dan merangkumi bidang-bidang yang sangat luas?” Tambahan lagi, terdapat beberapa bahagian di dalam al-Quran yang bermaksud memimpin dan menegur Nabi Muhammad. Saya berfikir: “(Jika benar Nabi Muhammad menulis al-Quran sebagaimana dakwaan orang-orang Kristian), apakah mungkin Nabi Muhammad menegur dirinya sendiri di dalam al-Quran?” (KARIMA SLACK RAZI).

Seseorang yang telah membaca al-Quran, kemudian mempelajari, mendalami dan menghayati setiap ajaran yang terkandung di dalamnya, pasti tidak dapat menolak kebenaran ajaran Islam yang suci. Firman Allah yang bermaksud, “Katakanlah: ‘Sesungguhnya aku hanya mengikut apa yang diwahyukan daripada Tuhanku kepadaku. Al-Quran ini adalah bukti-bukti yang nyata dari Tuhanmu, petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.’” (Al-A’raf 7:203). Firman-Nya lagi yang bermaksud, “Al-Quran ini tidak lain hanyalah peringatan bagi semesta alam. Dan sesungguhnya kamu akan mengetahui (berita) kebenaran al-Quran setelah beberapa waktu lagi.” (Saad 38:87-88).

No comments:

My Family...

My Family...
kenangan terindah bersama spupuku...

My Family...

My Family...
My lovely person... (atok & nenek)